Tanda dan gejala Angin ahmar

Gejala-gejala strok bergantung kepada jenis strok dan bahagian otak yang terjejas. Strok iskemia biasanya hanya menjejaskan bahagian setempat otak yang dirempuh oleh arteri yang sumbat. Strok pendarahan boleh menjejaskan bahagian setempat, tetapi seringnya boleh juga mengakibatkan gejala-gejala sejagat yang disebabkan oleh pendarahan dan pertambahan tekanan intrakranium.


Jika laluan sistem saraf pusat terlibat

Jika bahagian otak yang terjejas mengandungi salah satu daripada tiga laluan sistem saraf pusattrakus spinotalamus, trek kortikospina, dan turus dorsal (lemniskus medial) — gejala-gejala boleh termasuk:

  • kelemahan otot atau kekebasan (hemiplegia)
  • pengurangan kederiaan sakit atau suhu
  • pengurangan kederiaan getar.

Dalam kebanyakan kes, gejala-gejala hanya menjejaskan sebelah badan dari leher ke bawah, dan tidak termasuk muka. Kecacatan otak biasanya terjadi pada sebelah badan yang bertentangan (bergantung kepada bahagian otak yang terjejas). Bagaimanapun, kewujudan mana-mana satu gejala ini tidak semestinya merupakan strok kerana laluan-laluan ini juga melalui saraf tunjang, dan sebarang lesi di sana juga boleh mengakibatkan gejala-gejala tersebut.


Jika batang otak terlibat

Selain daripada laluan sistem saraf pusat yang tersebut di atas, batang otak juga terdiri daripada 12 saraf kranium. Oleh itu, strok yang menjejaskan batang otak juga boleh mengakibatkan gejala-gejala yang berkaitan dengan kurangan-kurangan dalam saraf kranium ini:

  • perubahan deria hidu, rasa, pendengaran, atau penglihatan (sebahagian atau sama sekali)
  • kelayuan kelopak mata (ptosis) dan kelemahan otot-otot okulus
  • pengurangan refleks: menjeluak, menelan, kereaktifan anak mata terhadap cahaya
  • pengurangan kederiaan dan kelemahan otot muka
  • masalah keimbangan dan nistagmus
  • perubahan kadar pernafasan dan denyut jantung
  • kelemahan otot sternokleidomastoid (SCM), dengan kehilangan upaya untuk memusing kepala
  • kelemahan lidah (kehilangan upaya untuk menjulurkan lidah dan/atau untuk menggerakkannya ke sebelah)


Jika korteks serebrum terlibat

Jika korteks serebrum terlibat, laluan-laluan sistem saraf pusat juga boleh terjejas, tetapi gejala-gejala yang berikut juga boleh muncul:

  • afasia (kehilangan upaya untuk bertutur atau memahami bahasa, akibat penglibatan bahagian Broca atau Wernicke)
  • apraksia (perubahan pergerakan terkawal)
  • pemikiran tidak teratur, kekeliruan, gerak isyarat hiperseksual (penglibatan lobus frontal)
  • perubahan penglihatan (penglibatan lobus oksiput)
  • kurangan-kurang daya ingatan (penglibatan lobus temporal)
  • hemineglek (penglibatan lobus parietal)


Jika serebelum terlibat

Jika serebelum terlibat, pesakit mungkin boleh mengalami:

  • kesusahan berjalan
  • perubahan kordinasi pergerakan
  • pening kepala

Kehilangan kesedaran, sakit kepala, dan muntah biasanya berlaku lebih kerap untuk strok pendarahan berbanding dengan trombosis, akibat peningkatan tekanan intrakranium daripada darah kebocoran yang memampatkan otak.

Jika gejala-gejala adalah paling teruk pada tahap permulaan serangan, kemungkinan besar puncanya ialah pendarahan subaraknoid atau strok embolus.

Pendarahan subaraknoid

Rencana utama: Pendarahan subaraknoid

Gejala-gejala pendarahan subaraknoid berlaku dengan tiba-tiba, akibat pertambahan tekanan intrakranium yang tiba-tiba. Seringnya, pesakit-pesakit mengalami sakit kepala yang tiba-tiba, dan yang terlalu teruk serta meluas. Sakit ini boleh memancar ke bahagian leher dan kaki, walaupun tidak semestinya. Muntah akan menyusul tidak lama selepas permulaan sakit kepala.

Biasanya, pemeriksaan neurologi merupakan pemeriksaan tak fokus — iaitu perkaitan antara kurangan-kurangan dengan bahagian-bahagian otak yang mengakibatkannya tidak dapat dikenal pasti — kecuali jika terdapat pendarahan masuk ke otak. Gabungan sakit kepala dan muntah tidak biasa ditemukan dalam kes strok iskemia.